
Beliau bagaimanapun berkata, sebelum melaksanakan sebarang kenaikan, kerajaan negeri akan terlebih dahulu meneliti perincian kenaikan gaji penjawat awam yang dijangka diumumkan pada Belanjawan 2025 Oktober ini.
“Kita juga akan naikkan gaji penjawat awam di Sabah, jangan bimbang. Kita ikut kerajaan persekutuan,” katanya selepas merasmikan majlis sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di Kota Kinabalu, lapor Bernama.
Pada sambutan Hari Pekerja 2024 1 Mei lepas, bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, Anwar mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13% bermula 1 Dis, antara yang tertinggi dalam sejarah, dengan peruntukan lebih RM10 bilion.
Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan juga akan meningkatkan gaji minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding jumlah pendapatan minimum, termasuk gaji dan elaun tetap, RM1,795 sebulan ketika ini.