Dasar pengurusan bencana disemak semula

Dasar pengurusan bencana disemak semula

Semakan semula dasar bertujuan memastikan ancaman bencana berada pada tahap minimum.

Zahid-hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyerahkan sijil penghargaan kepada petugas media yang terlibat dalam pengurusan bencana semasa monsun timur laut. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dasar Pengurusan Bencana Negara disemak semula bagi meningkatkan daya tahan, serta mengukuh kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam mengurus bencana.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata semakan semula dasar itu bertujuan memastikan ancaman bencana berada pada tahap minimum.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara sedang di peringkat akhir proses semakan semula Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara agar selari dengan keperluan dan evolusi pengurusan bencana yang semakin kompleks.

“Pindaan arahan MKN dijangka akan memantapkan lagi pengurusan, lebih-lebih lagi ia merupakan dokumen rujukan utama dalam koordinasi dan mekanisme pengurusan bencana negara,” katanya ketika majlis apresiasi petugas barisan depan Monsun Timur Laut 2023/2024 di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur.

Mengambil kira peningkatan risiko bencana di masa hadapan, pengurusan jangka panjang yang menyeluruh sedang digubal melalui dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara.

“Dasar ini di peringkat akhir, penggubalan ini akan menjadi dokumen utama yang menggariskan hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya tahan bencana, merangkumi semua sektor termasuk ekonomi, alam sekitar, sosial dan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Zahid mengumumkan kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara dikelolakan oleh Nadma bersetuju menyediakan peruntukan awal RM5 juta yang boleh digunakan oleh agensi-agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana.

Menurut beliau, peruntukan itu bagi melaksanakan program dan latihan berkaitan kesiapsiagaan dan kesedaran komuniti menghadapi bencana termasuk program Pengurusan Risiko Bencana Berorientasikan Komuniti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.