
Setiausaha Industri Pertahanan Turki Haluk Gorgun berkata, dengan bergabung tenaga, Malaysia boleh mendapat akses kepada teknologi terkini dan kepakaran, mempercepat keupayaan pertahanannya dan menggalakkan pertumbuhan industri pertahanan tempatan.
Dalam temu bual dengan Bernama menerusi e-mel menjelang Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024 dari 6 Mei hingga 9 Mei di Kuala Lumpur, Gorgun menekankan manfaat timbal balik daripada perkongsian sedemikian.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia, sebuah negara sahabat dan bersaudara dalam projek pembangunan, termasuk Projek KAAN yang telah dimulakan oleh Turki.
‘Kami juga terbuka untuk berkongsi pengalaman yang kami perolehi dari Pesawat Latihan Asas Generasi Baharu Hurkus dan pesawat Hurjet dengan Malaysia.
“Turki pada masa sama boleh mendapat manfaat daripada sumbangan Malaysia dalam bidang seperti penyelidikan dan pembangunan, keupayaan pembuatan dan pengetahuan serantau,” katanya.
Menurut Gorgun, Turki dan Malaysia telah berjaya bekerjasama dalam projek-projek perolehan langsung, usaha pengeluaran bersama dan aktiviti Pemindahan Teknologi (ToT) di pelbagai platform dan subsistem.
Kerjasama luar biasa ini ditunjukkan oleh projek kenderaan darat seperti Adnan dan Gempita, yang diketuai oleh FNSS, serta radar, sistem senjata dan inisiatif kawalan yang dipandu oleh Aselsan dan penghantaran kenderaan berperisai yang difasilitasi oleh Nurol.
Mengulas lanjut, Gorgun menegaskan, sebagai jet pejuang serba guna, KAAN mahir menjalankan pelbagai misi, termasuk pertempuran udara-ke-udara, serangan udara-ke-darat, pengintipan dan perang elektronik, memberikan Malaysia pilihan serba guna untuk menangani pelbagai cabaran keselamatan.
“Kebolehoperasian KAAN dengan sistem Nato dan potensi pemindahan teknologi memberikan peluang kepada Malaysia untuk menyepadukan pesawat itu dengan lancar ke dalam infrastruktur pertahanannya melalui kerjasama Turki.
“Secara keseluruhan, pelaburan dalam ‘KAAN akan meningkatkan penguasaan udara Malaysia dengan ketara, mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala dan menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau di Asia Tenggara,” katanya.
Pada 21 Feb, ujian penerbangan sulung selama 13 minit jet pejuang generasi kelima Turki pertama KAAN telah menarik perhatian media antarabangsa.
KAAN juga dilaporkan hasil usaha selama lebih sedekad daripada Tentera Udara Turki dengan sasaran KAAN menggantikan armada F-16 negara itu.
Turki adalah satu daripada lima negara yang boleh membangunkan dan menghasilkan jet pejuang generasi kelima secara bebas, bersama Amerika Syarikat, Rusia, China dan Korea Selatan.
Pada tahun ini, Turki sekali lagi muncul sebagai kontinjen terbesar di Pameran DSA dan Natsec 2024 dengan hampir 70 syarikat termasuk penyertaan Aselsan, Canik, Dearsan Shipyard dan Turkish Aerospace Industries.