
Timbalan setiausaha agung GRS berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan GRS dengan Pejuang untuk berdepan PRN Sabah.
“Komitmen kita untuk menyelesaikan mandat rakyat ini adalah melalui kerangka kerjasama dalam GRS-PH Plus.
“Jadi, sebarang cadangan lain ia tidak boleh daripada mana-mana individu di peringkat GRS untuk memberikan pandangan tetapi ia perlu untuk dapat konsensus dalam kerangka kerjasama sedia ada antara GRS-PH Plus,” katanya di Papar, menurut Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas hasrat Pejuang yang berminat menjalinkan kerjasama dengan GRS pada PRN mendatang.
Armizan ketika mengulas lanjut berkata, ‘hasrat Pejuang’ belum dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat peringkat GRS.
“…yang penting bukanlah pandangan saya, tetapi GRS ini parti yang melibatkan pelbagai komponen jadi ia perlu dirunding dan dibincangkan.
“Tetapi, apa yang saya boleh yakinkan sebagai salah seorang ahli jawatankuasa GRS di peringkat pusat tidak ada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak lain selain kerangka GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus, itulah kerjasama yang ingin kita perkukuhkan pada masa ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan GRS, Joniston Bangkuai, berkata GRS selesa dengan PH Sabah untuk menerajui kerajaan negeri.
Katanya, tidak ada sebab untuk gabungan parti tempatan itu menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung.
Pada 4 Mei, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata partinya mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa parti politik GRS untuk menjalinkan kerjasama.
Beliau menyifatkan pemimpin GRS sebagai ‘rakan lama yang kita berjuang, menang, dan hadapi cabaran bersama’.