Perkhidmatan pembaharuan cukai jalan BJAK tiada kelulusan JPJ

Perkhidmatan pembaharuan cukai jalan BJAK tiada kelulusan JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan memaklumkan ia tidak pernah memberi kelulusan kepada syarikat itu untuk menyediakan perkhidmatan terbabit.

JPJ menggalakkan urus niaga pembaharuan cukai jalan dilakukan menerusi kaunter, kios dan kaunter bergerak JPJ Mobile. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata pihaknya mahupun Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah memberi kelulusan kepada BJAK Sdn Bhd (BJAK) untuk menyediakan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai.

Dalam kenyataan, JPJ menjelaskan iklan dikeluarkan syarikat itu di media sosial dan laman sesawangnya juga adalah tidak benar dan mengelirukan.

“JPJ memandang serius kandungan iklan dikeluarkan oleh BJAK melalui laman sesawang dan media sosialnya berhubung perkhidmatan ditawarkan itu.

“Kita ingin memaklumkan, JPJ mahupun MOT tidak pernah memberikan kelulusan kepada mereka untuk menjalankan urus niaga terbabit. Kenyataan ‘pembaharuan road tax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ’ dalam laman sesawang mereka juga tidak benar dan mengelirukan orang ramai,” katanya.

JPJ juga memaklumkan ia menerima beberapa aduan daripada orang ramai apabila pembaharuan cukai dilakukan namun tempoh sah lakunya tidak dikemas kini.

“Tiada integrasi sistem digunakan BJAK dengan sistem JPJ (MySIKAP). Pada masa sama, kita juga menerima aduan daripada orang ramai bahawa bayaran caj tambahan dikenakan ketika memperbaharui cukai jalan.

“Kita tidak pernah meluluskan sebarang caj tambahan seperti dikenakan oleh BJAK. JPJ ingin menggalakkan urus niaga pembaharuan cukai jalan dilakukan menerusi kaunter, kios, kaunter bergerak JPJ Mobile, aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga iaitu Pos Malaysia, MyEG dan Puspakom sahaja,” katanya.

Justeru, JPJ menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan platform menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan penipuan.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan rasmi kepada JPJ menerusi portal rasminya di https://jpj.spab.gov.my/.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.