
Menyifatkan permohonan itu sebagai “kurang cerdik”, Shamsher Singh Thind berkata, kuasa pengampunan terletak pada Agong, bukan Lembaga Pengampunan, walaupun dari segi amalannya, baginda terikat untuk mengikuti nasihat lembaga itu.
“Jadi, jika anda tidak puas hati dengan pengampunan (walaupun separuh) yang diberikan kepada Najib Razak, (bermaksud) anda tidak puas hati dengan kuasa yang dilaksanakan oleh Agong.
“Hakikat bahawa (anda tidak) berkata demikian tidak mengubah apa-apa. Anda masih mempersoalkan Agong,” katanya dalam catatan di Facebook.
Tambahnya, cadangan semakan kehakiman itu kurang mendapat penyertaan oleh para peguam, kerana “22,146 peguam malah tidak hadir mengundi” walaupun 238 peguam menyokong permohonan itu dengan hanya seorang membangkang.
Dalam permohonan yang difailkan oleh peguam cara Tetuan Amir & Rajpal Ghai di Mahkamah Tinggi pada 26 April, Badan Peguam, yang mewakili puluhan ribu peguam di Semenanjung Malaysia, memohon deklarasi bahawa keputusan kolektif lembaga itu menyalahi undang-undang, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak sah.
Badan itu turut memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan lembaga itu.
Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan memendekkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 70, kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang dan akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Badan Peguam juga memohon injunksi kekal menghalang Najib atau ejennya daripada mengemukakan sebarang permohonan pengampunan atau penangguhan hukuman kepada lembaga itu sehingga semua tuduhan jenayah terhadapnya selesai.
Menyelar permohonan injunksi tersebut, Shamser berkata, perkara berkaitan dengan proses pengampunan tidak boleh diadili dan mahkamah harus mengelak daripada campur tangan.
“Tugas peguam adalah untuk membela orang yang dituduh di mahkamah, bukan untuk menyebabkan mereka mendapat sabitan dan hukuman.
“Apa yang dilakukan oleh Badan Peguam itu bertentangan dengan kepentingan peguam,” katanya.
Beliau juga bertanya mengapa Badan Peguam “menjalankan tugas peguam negara”, yang menganggotai Lembaga Pengampunan.
“Jika peguam negara setuju Najib diberikan pengampunan (atau separuh daripadanya), mengapa Badan Peguam pula seperti cacing kepanasan?” soalnya.