
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid, berkata siasatan dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan polis.
“Kertas siasatan telah diserahkan kepada peguam negara dan sama ada, ada siasatan tambahan atau tidak, saya percaya itu dalam bidang kuasa pihak peguam negara.
“Tetapi saya yakin, penguat kuasa JAINJ dan polis telah laksana tugas, selebihnya kita serah budi bicara peguam negara untuk buat tindakan susulan, termasuk sekiranya perlu untuk mendakwa mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Islam Iskandar Johor.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi tiga minit menerusi media sosial yang memaparkan seorang lelaki mendakwa kasut keluaran Vern’s yang dibelinya memaparkan logo seakan-akan kalimah Allah.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis menerima lapan laporan di seluruh negara berkaitan isu logo berkenaan dan kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 8 April, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff, dilapor berkata pihaknya telah bertemu Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan serta langkah-langkah syarikat untuk mengelakkan isu seumpama itu berulang.