Jangan reka cerita 2 pemain Harimau Malaya diserang ‘bookie’

Jangan reka cerita 2 pemain Harimau Malaya diserang ‘bookie’

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mahu polis diberi ruang menyiasat.

Pada Khamis Akhyar Rashid disamun di Kuala Terengganu dan tiga hari kemudian rakan sepasukan skuad Harimau Malaya Faisal Halim diserang asid di Petaling Jaya.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain menasihatkan orang ramai tidak mereka-reka cerita kononnya insiden serangan terhadap dua pemain Harimau Malaya kononnya berkait pengendali pertaruhan atau ‘bookie’.

Beliau berkata, pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan sama ada kejadian serangan terhadap Faisal Halim mempunyai kaitan dengan serangan terhadap seorang lagi pemain bola sepak yang mewakili Terengganu FC, Akhyar Rashid yang turut diserang dan disamun di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

“Beri kami ruang dan masa untuk siasatan berhubung kes ini dilaksanakan,” katanya menurut Sinar Harian ketika meninjau pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) 2024, di Kuala Lumpur.

Hari ini, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata setakat ini tiga individu dirakam keterangan termasuk Faisal berhubung insiden serangan asid terhadap pemain Selangor FC itu.

Semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin menasihatkan Faisal ‘melupakan seketika’ kancah bola sepak negara.

Beliau juga menyeru semua pemain bola sepak Malaysia sentiasa menjaga diri agar perkara buruk itu tidak berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.