Semua pandangan isu boikot diteliti, kata menteri agama

Semua pandangan isu boikot diteliti, kata menteri agama

Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan mengambil pendekatan untuk meneliti pandangan beberapa pihak berhubung isu boikot dalam kalangan umat Islam.

Mohd Na’im Mokhtar berkata walaupun perkara berkaitan boikot adalah pilihan individu namun kerajaan meneliti pandangan dilontarkan pelbagai pihak. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan meneliti semua pandangan berhubung tindakan boikot dalam kalangan umat Islam terhadap beberapa produk sejak kebelakangan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata ia termasuk juga pandangan Mufti Perak Wan Zahidi Wan Teh semalam yang menggesa boikot terhadap KK Mart dihentikan kerana sudah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam.

“Saya mengarahkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) meneliti pandangan itu (Mufti Perak) dan semua pandangan lain daripada pelbagai sudut walaupun perkara berkaitan boikot itu adalah pilihan individu.

“Ada banyak pandangan yang berbeza dan kita hormatinya. Kita mengambil pendekatan melihat pandangan itu dan membuat keputusan selepas itu (teliti),” katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Masjid dan Surau Jumaat Jawi di Dataran Merdeka.

Semalam, Wan Zahidi menggesa umat Islam menghentikan boikot terhadap KK Mart kerana respons terhadap isu penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh kedai serbaneka itu sudah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam.

Katanya, mengikut kaedah kehakiman Islam, rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya dan menerusi tindakan susulan KK Mart, tuduhan menghina Islam tidak terbukti.

Menurutnya, tindakan memboikot sesuatu kaum tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW, memetik sirah mengenai pembentukan piagam Madinah.

Mac lalu, tercetus kontroversi membabitkan KK Mart apabila tular di media sosial gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di salah sebuah premisnya di Bandar Sunway yang membawa kepada tindakan boikot.

Tindakan sama juga dilakukan terhadap beberapa jenama dikaitkan dengan Israel hingga berlakunya provokasi dan ugutan terhadap pelanggan McDonald’s di Sungai Isap, Kuantan baru-baru ini.

Lima suspek ditahan berhubung kejadian itu.

Selain itu tular beberapa video dan hantaran tular yang melabel individu membeli makanan di rangkaian restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald’s sebagai “anjing”.

Dalam perkembangan lain, Na’im berkata kuota 31,600 jemaah haji bagi musim 2024 telah dipenuhi.

“Ia termasuk mereka yang membuat rayuan. Kuota itu telah dipenuhi dan insyAllah 9 Mei nanti jemaah haji Malaysia akan berlepas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.