Ranking kebebasan media jatuh kerana dasar ‘kuku besi’, dakwa Wan Saiful

Ranking kebebasan media jatuh kerana dasar ‘kuku besi’, dakwa Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata kerajaan tidak mengotakan janjinya.

Bekas ketua komunikasi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata wartawan dan aktivis media sosial ditakutkan dengan tindakan undang-undang, sekali gus menyekat kebebasan bersuara.
PETALING JAYA:
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia yang merudum kepada kedudukan ke-107 dari 73 membuktikan ‘sifat kuku besi’ kerajaan hari ini, kata Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Wan Saiful Wan Jan.

“Jelas sekali janji kerajaan PH-BN mengenai jaminan kebebasan media adalah palsu dan kebebasan media hari ini berada dalam keadaan kritikal dan parah,” kata bekas ketua penerangan Bersatu itu dalam hantaran di Facebook.

Katanya, laporan Reporters Without Borders (RSF) yang disiarkan semalam itu adalah mengenai situasi pada 2023.

Sebaliknya, katanya, lonjakan kedudukan Malaysia ke tangga ke-73 tahun lepas adalah cerminan bekas pentadbiran PN pada 2022.

“Pakatan Harapan pernah berjanji untuk memberi jaminan memelihara dan meningkatkan kebebasan media di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, ia “menyekat” laman media yang dikatakan mengkritik kerajaan dan membatalkan pas media rasmi Harakah Daily.

Wan Saiful berkata wartawan dan aktivis media sosial ditakutkan dengan tindakan undang-undang, sekali gus menyekat kebebasan bersuara.

“Media-media dicengkam dengan tindakan drakonian dan kuku besi.

“Kedudukan Malaysia di tangga 107 hanyalah baik sedikit saja berbanding Burundi (108), Mongolia (109) dan Zimbabwe (116). Malahan kedudukannya tahun ini lebih teruk dari Israel (101),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.