
Mengulas penerimaan masyarakat itu selepas seminggu berkempen, Khairul berkata mereka telah turun bertemu kelompok terbabit yang masing-masing mewakili 36% dan 18% daripada 40,226 pemilih layak mengundi.
“Hitam atau putih kepada PN dalam soal sokongan kaum, lebih terarah kepada isu sara hidup yang kian menekan. Kuala Kubu Baharu ini tempat di mana kitaran ekonomi berlegar aktif sesama mereka. Jika kos kenaikan berlaku di kalangan peniaga, secara langsung terkesan kepada pembeli.
“Maka semua terkena dengan kesan ini dan ini fokus saya dalam menyantuni semua pengundi,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengakui pemilihan Khairul untuk berdepan Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya itu dibuat berdasarkan jumlah pengundi Melayu yang ramai iaitu dianggarkan meliputi 46%.
Beberapa penganalisis berpendapat PN perlu melipatgandakan usaha untuk mendapat sebanyak mungkin sokongan segmen pengundi Cina dan India yang selama ini menyokong PH, jika ingin merampas kerusi terbabit.

Namun kemungkinan itu juga boleh berlaku dengan andaian lebih 80% pengundi Melayu menyokong PN, mengharapkan trend sejak PRU15 berterusan.
Selain Pang dan Khairul, PRK Kuala Kubu Baharu turut ditandingi calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainudin dan calon bebas Nyau Ke Xin.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong daripada PH akibat barah pada 21 Mac lalu. Pada PRN Selangor Ogos lalu, Lee menang dengan majoriti 4,119 undi.
Jika diberi mandat oleh pengundi Kuala Kubu Baharu, Khairul mengakui mungkin ada kekangan dari segi peruntukan kerana beliau akan berada dalam blok pembangkang di kerajaan Selangor pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN).
“Namun kita kena faham ada dua komponen untuk jadi perhatian rakyat, pertama projek kemudahan serta bantuan kewangan manakala kedua sentiasa turun padang dan cakna masalah.
“Walaupun saya ada kekangan untuk syarat pertama, namun saya akan juarai yang kedua sekali pun tiada peruntukan dan bantu mereka setakat yang mampu,” katanya.