
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata pada 4.42 pagi polis menerima satu laporan berkaitan kes itu.
Berdasarkan laporan itu, kira-kira pukul 3 pagi semasa pengadu bersama sepupunya sedang tidur kedengaran bunyi empat das tembakan di luar rumah.
“Pengadu yang tersedar dengan tembakan itu terus pergi ke pintu utama di rumahnya dan mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal memecut laju ke arah Bunut Susu.
“Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati terdapat kesan tembakan pada cermin belakang dan cermin sisi penumpang hadapan kereta Perodua Viva, manakala kereta Mitsubishi Triton ditembak di bahagian fender kiri,” katanya dalam kenyataan.
Zaki berkata polis yang menjalankan pemeriksaan di kawasan hadapan rumah lelaki itu menemukan empat kelongsong peluru disyaki jenis 9mm.
“Dalam kejadian ini tidak melibatkan kecederaan mana-mana individu dan hanya melibatkan kerosakan dua buah kereta sahaja dan suspek disyaki dua lelaki tempatan menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.