Kenaikan gaji penjawat awam boleh dilaksana, kata Anwar

Kenaikan gaji penjawat awam boleh dilaksana, kata Anwar

Perdana menteri berkata peningkatan gaji penjawat awam membabitkan kos lebih RM10 bilion itu boleh ditampung dengan kawalan pengurusan kewangan.

bang nonon
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan untuk menaikkan gaji penjawat awam adalah satu ganjaran yang adil dan sebagai usaha meningkatkan lagi kefahaman tugas serta disiplin mereka. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa peningkatan gaji penjawat awam mulai Disember ini mampu dilaksana menerusi kawalan pengurusan kewangan kerajaan.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata peningkatan gaji penjawat awam, dijangka membabitkan kos lebih RM10 bilion mulai tahun depan, boleh ditampung dengan pengurusan kewangan yang lebih tegas.

“Kenaikan gaji itu boleh dilaksana kerana kita boleh kawal pengurusan kewangan… saya yakin ada barakah, ada nikmat kalau kita betul-betul ‘strict’ dan rigid dalam hal ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Program Perkampungan Sunnah Siri ke-9 malam tadi.

Beliau berkata keputusan untuk menaikkan gaji penjawat awam adalah satu ganjaran yang adil dan sebagai usaha meningkatkan lagi kefahaman tugas serta disiplin mereka.

“Tingkatkan kefahaman, kerja bersungguh-sungguh, disiplin polis, disiplin tentera… jadi saya bertanggungjawab untuk pastikan ini boleh (dilaksanakan),” katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata pimpinan negara Islam perlu terus berani menegur dan menyatakan pandangan dalam isu kekejaman terhadap rakyat Palestin ketika ini.

“Perkembangan mutakhir di Gaza yang pernah saya ungkapkan sebelum ini ialah kelesuan suara pimpinan negara-negara Islam, hilang upaya dan kekuatan untuk menyatakan sikap keras dan tegas bagi menghentikan kekejaman penjajahan manusia ke atas manusia.

“Oleh yang demikian, kerakusan (rejim) Zionis Israel (akan) berterusan dengan dukungan beberapa negara Barat khususnya Amerika Syarikat.

“Saya tidak mewakili negara besar, saya mewakili negara sederhana dengan kekuatan ekonomi yang sederhana tetapi saya tidak boleh lihat kelesuan ini dan mengizinkannya,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.