Kabinet langsung tak bincang harga minyak, Fahmi tepis laporan media asing

Kabinet langsung tak bincang harga minyak, Fahmi tepis laporan media asing

Fahmi Fadzil mengingatkan semua media tidak melaporkan berita bersandarkan maklumat daripada sumber tidak dapat disahkan.

Jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri langsung tidak membincangkan kenaikan harga minyak sebelum ini, termasuk minggu lepas.
GEORGE TOWN:
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyangkal laporan media luar negara kononnya kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata, mesyuarat Jemaah Menteri langsung tidak membincangkan perkara itu sebelum ini, termasuk minggu lepas.

“Saya meneliti perkara itu dan saya boleh mengesahkan di sini saya ahli Jemaah Menteri, kita tidak bincang perkara ini pun. Jadi, ‘don’t put the cart before the horse’ atau jangan umum sesuatu perkara itu sebelum ia diumumkan.

“Kita lihat ada beberapa akhbar berpangkalan di luar negara mendahului proses dan saya harap semua pihak, termasuk media mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi,” katanya ketika berucap pada Program Jiwa Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor di sini.

Beliau turut mengingatkan semua media tidak melaporkan berita bersandarkan maklumat daripada sumber yang tidak dapat disahkan atau dikenal pasti.

“Kita lihat bagaimana baru-baru ini Menteri Digital (Gobind Singh Deo) berada di Pulau Pinang pada April lalu, bercakap tentang Digital Nasional Berhad (DNB)…seminggu sebelum itu, ada akhbar dari luar negara berkata pelaksanaan rangkaian 5G rosak, punah…seolah-olah semuanya telah diputuskan.

“Seminggu selepas itu, Gobind mengumumkan ahli lembaga pengarah DNB telah ditambah dan proses itu sedang berjalan. Kedua, pasal isu lesen kasino (diberikan di Johor) kononnya akan diumumkan dalam masa terdekat.”

Fahmi berharap Komuniti Madani dapat membantu menangani isu fitnah dan berita palsu lebih terancang.

Beliau juga berharap media, Komuniti Madani dan kerajaan dapat bekerjasama memastikan maklumat sampai kepada rakyat adalah sahih, tepat serta benar sementara menunggu Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia dibawa ke Parlimen.

Semalam, media asing melaporkan Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini, pembaharuan ekonomi utama yang akan menguji sokongan terhadap kerajaan perpaduan diterajui Pakatan Harapan ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup tinggi.

Media terbabit yang memetik sumber rasmi dan industri berkata, harga diesel akan diapungkan pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan disusuli kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.