Hanya mahu jadi ‘proksi rakyat’, Pang tepis tuduhan pemimpin Bersatu

Hanya mahu jadi ‘proksi rakyat’, Pang tepis tuduhan pemimpin Bersatu

Pemimpin Bersatu Afif Bahardin sebelum ini mendakwa Pang Sock Tao dicalonkan sebagai calon PH di PRK Kuala Kubu Baharu untuk menjadi proksi Nga Kor Ming.

Pang Sock Tao
Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao bertemu dengan pengundi dalam siri kempennya di Kuala Kubu Baharu.
HULU SELANGOR:
Pang Sock Tao menegaskan dirinya hanya mahu menjadi ‘proksi rakyat’, menepis serangan Adun Bersatu Dr Afif Bahardin yang mengaitkannya dengan Nga Kor Ming dalam pemilihan calon Pakatan Harapan (PH) untuk PRK Kuala Kubu Baharu.

Bertugas sebagai setiausaha akhbar kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan sebelum ini, Pang menolak hujah Afif bahawa dirinya ‘proksi Nga’ dan menganggapnya sebagai merendahkan kewibawaan golongan wanita untuk menjadi pemimpin.

Ditemui FMT dalam siri kempennya, beliau menjelaskan perkhidmatannya dalam kerajaan bukan hanya di bawah Nga, sebaliknya bermula sebagai pegawai khas kepada Yeo Bee Yin yang dilantik menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim dari 2018 hingga 2020.

“Pengalaman ini penting untuk saya berkhidmat, saya hanya ingin menjadi proksi rakyat di KKB bukan proksi mana-mana pihak.

“Hujah (Afif) itu menyebabkan anak muda tak minat politik kerana kita tak mahu jadi proksi mana-mana pihak, kenyataannya juga merendahkan kewibawaan wanita yang saya percaya boleh berdiri sama tinggi dengan pemimpin lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kepada paparan video Afif di instagram baru-baru ini, yang mendakwa Pang, 31, dipilih semata-mata disebabkan peranannya sebagai ‘proksi’ kepada Nga.

zahid amir pang
Pang Sock Tao dipilih untuk menjadi calon daripada kerajaan perpaduan untuk PRK Kuala Kubu Baharu.

Pang juga menolak dakwaan Afif yang melabelnya sebagai orang luar kerana berasal dari Ampang dan tidak kisah dengan nasib penduduk di Kuala Kubu Baharu jika dipilih sebagai wakil rakyat pada 11 Mei depan.

“Saya nak kembalikan soalan sama kepada Afif (berkait calon luar)…ini kerana setahu saya beliau anak Selangor tetapi pernah menjadi Adun Seberang Jaya di Pulau Pinang selama dua penggal,” katanya.

Untuk rekod Afif pernah menjadi Adun Seberang Jaya dan exco Pulau Pinang selama dua penggal sebelum bertanding di Parlimen Shah Alam iaitu kampung halamannya pada PRU15, namun tewas.

Pada PRN Selangor Ogos tahun lalu, ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu itu kembali bertanding dan menang di DUN Taman Medan.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan Pang ditentang Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.