Boikot minyak sawit tempatan jejas pekebun kecil, kata persatuan

Boikot minyak sawit tempatan jejas pekebun kecil, kata persatuan

Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia meminta orang ramai tidak menyokong kempen 'Tiada Minyak Sawit' yang ada dipapar pada sebahagian produk dari luar negara.

Adzmi Hassan berkata pekebun kecil kelapa sawit menyumbangkan kepada 40% eksport komoditi utama negara itu.
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan pekebun kecil kelapa sawit bimbang kempen ‘Tiada Minyak Sawit’ atau ‘No Palm Oil’ termasuk dipaparkan pada pembungkusan produk dari luar negara dijual di Malaysia akan menjejaskan pendapatan mereka untuk jangka panjang.

Mengulas penemuan produk aiskrim memaparkan label kempen itu dalam serbuan di sebuah kedai serbaneka di Putrajaya, kelmarin, Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Adzmi Hassan menggesa orang ramai tidak menyokongnya.

Menurutnya, kempen seumpama itu tidak akan membantu pertumbuhan ekonomi memandangkan pekebun kecil yang menyumbangkan kepada 40% eksport komoditi utama negara.

Beliau turut menegaskan tidak timbul isu kaedah penanamannya memandangkan semua pengusaha ladang dan pengeluar minyak mengamalkan pengurusan baik termasuk menerusi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Jika (kempen) itu dibiarkan, nanti pengguna lain buat kempen (yang sama) dan akan memberi imej buruk pada minyak sawit kita.

“Kalau minyak sawit tak diterima di antarabangsa, pekebun kecil yang menyumbangkan 40% kepada eksport negara akan terjejas berikutan permintaan eksport (kurang) serta harga (akan) jatuh,” katanya kepada FMT.

Dalam serbuan di Presint 3 itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyita produk aiskrim mempunyai label ‘No Palm Oil’ iaitu kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.

Menerusi undang-undang mula berkuat kuasa 15 Mac lalu, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda maksimum RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Adzmi berkata, pihaknya menyokong penguatkuasaan KPDN dan ketegasan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani dalam mencegah kemasukan produk luar negara yang menyelitkan kempen seumpama itu.

“Kena lindungi minyak sawit kita kerana kualitinya diiktiraf,” katanya mengulas kenyataan Johari yang kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana produk dengan mesej tiada minyak sawit dijual dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.