
Pengerusi Faisal Abdul Aziz berkata perlaksanaan agenda reformasi masih perlahan.
“Saat ini Malaysia sedang meniti fasa penting transisi pendemokrasian yang akan menentukan sama ada kita berada di landasan yang tepat menuju pembinaan sebuah masyarakat inklusif, demokratik, dan adil atau berpatah ke belakang dengan mengekalkan dasar-dasar yang regresif,” katanya pada sidang media di pejabat kumpulan reformasi pilihan raya itu, petang tadi.
Kongres itu dijadualkan pada 25 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara.
Dalam satu himpunan pada 27 Feb lepas, Bersih menuntut reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu melibatkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen dalam pemilihan pengerusi. Kumpulan itu juga menyeru tempoh jawatan perdana menteri dihadkan dan Akta Hasutan dimansuhkan, antara lain.
Himpunan itu disusuli dengan suatu pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim keesokannya, di mana Bersih menyerahkan suatu memorandum.
Faisal berkata kegagalan melaksanakan agenda reformasi “akan mengakibatkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap sistem tatakelola yang baik, pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas khususnya dalam melindungi sistem demokrasi berparlimen serta agenda melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Bersih berkata kongres yang akan diadakan itu perlu “untuk beri momentum, tekanan kepada semua pihak, baik perdana menteri atau Jemaah Menteri”.
Kongres akan datang dijangka menampilkan ucapan daripada bekas Speaker Dewan Rakyat Ariff Yusof; bekas pengerusi Bersih, S Ambiga; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Fahmi Samsudin; dan Ketua Pegawai Operasi Ideas, Sri Murniati Yusuf.
Masyarakat sivil juga boleh menghantar cadangan berkaitan reformasi pilihan raya, hak asasi manusia, pemisahan kuasa, dan keharmonian kaum, kata Faisal.
“Kongres ini mekanisme untuk kumpul suara semua NGO, masyarakat sivil, mahasiswa seluruh yang sayangkan negara, bina momentum halatuju NGO dan Bersih hingga menjelang PRU16,” tambahnya.