
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME17, dengan kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga ME17 sebanyak 52,887 kes berbanding 36,977 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau dalam kenyataan berkata, 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 22 kematian dalam tempoh sama tahun lepas, manakala 63 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME17 berbanding 80 pada minggu sebelumnya.
Katanya, 51 lokaliti dilaporkan di Selangor, empat lagi di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Pulau Pinang, dua lokaliti masing-masing di Perak serta Kedah dan satu di Sarawak.
Bagi survelan chikungunya, tiada kes dan wabak direkodkan pada ME17 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes.
Bagi survelan zika, beliau berkata, 850 sampel darah dan enam sampel urin disaring dan semuanya negatif.
Beliau menasihati orang awam mengelak berada di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk aedes pada awal pagi serta lewat petang, selain kerap menyembur aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa bersembunyi dalam rumah.