Remaja 13 tahun mengaku salah bakar anak kucing

Remaja 13 tahun mengaku salah bakar anak kucing

Majistret membenarkan tertuduh yang tidak pernah bersekolah itu diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Tangkap layar video tular menunjukkan dua daripada tiga lelaki menyimbah bahan bakar sebelum menyalakan api ke atas seekor anak kucing di parkir sebuah flat di Kajang.
PETALING JAYA:
Seorang remaja lelaki 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas satu pertuduhan membakar anak kucing di sebuah flat di Hulu Langat, minggu lalu.

Tertuduh yang tidak pernah bersekolah itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Mahkamah menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, pesalah juvana itu didakwa bersama dua lagi lelaki masih bebas secara kejamnya menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan terbabit di parkir flat di Hulu Langat pada 1.08 tengah hari 22 April lalu.

Kesalahan mengikut Perenggan 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Kes ini sangat serius kerana melibatkan kesalahan penganiayaan terhadap binatang, selain ia melibatkan kes berkepentingan awam,” katanya menurut Sinar Harian.

Tetapi, ibu tertuduh yang berusia 30 tahun merayu anak tunggalnya diberikan jaminan rendah kerana dia hanya bekerja di kilang, selain perlu menjaga ibunya yang sudah tua.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, tular video menunjukkan dua daripada tiga lelaki menyimbah sesuatu dipercayai bahan bakar ke atas seekor anak kucing dianggarkan berusia enam minggu dan seorang lagi menyalakan api.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor mengesahkan menerima laporan daripada IPD Hulu Langat pada 24 April lalu berhubung kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.