Permohonan Guan Eng, isteri batal tuduhan rasuah ditolak

Permohonan Guan Eng, isteri batal tuduhan rasuah ditolak

Mahkamah Tinggi berkata kes tersebut perlu diteruskan kerana kesalahan yang berlaku dan individu terlibat adalah berbeza.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bersama peguam dan penyokongnya di luar Mahkamah Tinggi.
GEORGE TOWN:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew, dan ahli perniagaan Phang Li Koon untuk membatalkan tuduhan rasuah berkait projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Rofiah Mohamad berkata mahkamah menolak dakwaan tertuduh bahawa berlaku pendakwaan dua kali, kerana keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan berdasarkan kes terdahulu.

“Terdapat perbezaan besar dalam kesalahan yang didakwa berlaku, dan ia melibatkan orang yang berbeza. Kes ini harus diteruskan,” katanya ketika menyampaikan keputusan.

Rofiah berkata, pembelaan mendakwa 25 saksi dipanggil memberi keterangan dalam satu kes membabitkan Lim pada 2016, tetapi tidak ada penemuan yang ditemui berdasarkan keterangan dan fakta oleh mahkamah ketika itu.

Beliau menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh pengurusan kes, dan ikat jamin yang dikenakan sebelum ini dilanjutkan.

Pembelaan memfailkan permohonan untuk membatalkan kes tersebut, dengan alasan pendakwaan menggunakan bukti dari kes terdahulu yang tidak berkaitan dan dibebaskan melibatkan Lim dari 2018.

Lim, Chew, dan Phang menghadapi tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang mana mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi selepas memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen di Butterworth.

Menurut pertuduhan, Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri dan pengerusi lembaga tawaran Penang Development Corporation (PDC) untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009, bagi Chew dengan cara mengambil tindakan memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan projek itu di Juru dan Batu Kawan.

Dalam penghakimannya, Rofiah berkata, Peguam Negara mempunyai sepenuhnya budi bicara untuk mendakwa mana-mana individu yang beliau rasakan sesuai, sebarang cabaran terhadap keputusan itu harus dibuat menerusi semakan kehakiman.

Diluar mahkamah, peguam Lim RSN Rayer berkata pihaknya akan memohon penangguhan proseding itu semantara menunggu rayuan.

Rayer turut menegaskan pendirian pembelaan bahawa menggunakan semula bukti daripada kes lain dimana tertuduh sudah dilepaskan adalah satu bentuk pendakwaan dua kali.

“Kami menunggu dan meneliti alasan-alasan yang dikeluarkan mahkamah, sebelum kami akan buat rayuan penggantungan perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga keputusan Mahkamah Rayuan diterima,” katanya.

Sementara itu, Lim menegaskan beliau tidak bersalah.

“Saya akan teruskan dan bersungguh-sungguh untuk membersihkan nama saya, isteri dan Phang,” katanya.

Dalam satu permohonan ke Mahkamah Tinggi tahun lalu, Lim berkata tuduhan terkini yang dihadapinya hampir sama dengan kes rumah banglo Pinhorn Road yang dihadapi beliau pada 2016, di mana beliau dibebaskan dan dilepaskan dua tahun kemudian.

Beliau juga berkata bahawa dokumen yang akan dikemukakan sebagai bukti dalam kes terkini itu telah diambil dari beberapa berkas dokumen yang digunakan dalam kes rumah banglo pada 2016.

Lim mengenal pasti 106 item bukti pendakwaan yang didakwanya serupa dalam kedua-dua kes tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa 14 berkas dokumen dalam kes terkini itu adalah sebahagian daripada 37 berkas dokumen, yang terdiri daripada 7,724 muka surat, yang digunakan dalam kes rumah banglo pada 2016.

Dakwaan terhadap pasangan tersebut dan Phang melibatkan pemberian projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta di bawah sebuah agensi Pulau Pinang.

Lim dituduh memberikan suapan bernilai RM372,009 kepada isterinya melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd untuk memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd dianugerahkan projek di Juru dan Batu Kawan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir, Ashraf Adrin Kamarul dan Shafiq Hasim manakala Rayer, V Sithambaram, dan Ruebankumar Asokan mewakili pembelaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.