
Pengerusi jawatankuasa SKSSR Kasthuri Patto berkata sebanyak tujuh sesi ‘roadshow’ akan dilaksanakan mulai bulan Mei hingga Julai di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur.
“Sesi roadshow ini juga akan diperluaskan kepada pejabat-pejabat Perkeso di seluruh negeri di Malaysia, bagi memastikan kesedaran dan pemahaman yang menyeluruh terhadap inisiatif ini,” katanya pada sidang media.
Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata langkah itu dijangka dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan sumbangan caruman SKSSR di kalangan majikan sektor swasta, sekaligus meningkatkan keterjaminan perlindungan sosial pekerja wanita.

“Manakala bagi kategori pekerja yang tidak layak mendapat pengecualian cukai, syarikat masih boleh membuat penajaan berasaskan konsep solidariti majikan demi kebajikan pekerja secara menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 10 buah syarikat swasta telah mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan setakat ini.
Antaranya seperti Tropicana Corporation Berhad, Malayan Banking Berhad, Berjaya Corporation Berhad, Merchantrade Sdn Bhd, CIMB Bank, Mesiniaga Berhad, Sime Darby Property, Lembaga Tabung Haji, Cagamas Berhad dan Jakel Group.
“Sebanyak RM558,360 caruman SKSSR ditaja, yang memanfaatkan 4864 wanita dari golongan B40,” katanya.
Sebelum ini, Kasthuri dipetik berkata masih kurang daripada 10% pendaftaran SKSSR berbanding matlamat kerajaan perpaduan untuk melindungi lebih tiga juta suri rumah di negara ini.
Katanya, hanya 253,794 wanita mendaftar setakat bulan lalu.
Skim itu untuk memberi perlindungan kepada suri rumah daripada kemalangan domestik atau keilatan semasa menguruskan rumah tangga serta suri rumah yang menghidap penyakit atau hilang upaya.