Perintah tambahan: Zaliha kata Anwar dah jawab

Perintah tambahan: Zaliha kata Anwar dah jawab

Dr Zaliha Mustafa enggan mengesahkan sama ada perintah tambahan membenarkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah wujud atau tidak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa salah seorang daripada ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang terbabit dalam permohonan pengampunan Najib Razak.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa terus mengunci mulut berhubung perintah tambahan yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu berkait penahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketika ditanya wartawan pada Majlis Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini, Zaliha enggan mengesahkan sama ada perintah itu wujud atau tidak, lapor Berita Harian.

Zaliha yang juga salah seorang daripada ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkata soalan itu sudah dijawab Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Dah ada from (dari) Datuk Seri (Anwar), you just follow (anda hanya ikut) apa yang Datuk Seri dah sebut itu, nothing more from me (tiada apa daripada saya),” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Anwar sebelum ini berkata, beliau enggan dilibatkan dengan pertikaian perintah tambahan itu kerana ia adalah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu.

Dalam permohonan difailkan pada 1 April, Najib mendakwa bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan perintah tambahan semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan, sehari sebelum penggal baginda berakhir.

Bagaimanapun, Najib mendakwa perintah tambahan itu tidak diumumkan oleh lembaga pada 2 Feb dan kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak melaksanakan perintah tambahan itu.

Najib juga berkata, peguamnya menulis surat kepada Anwar, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said untuk mengesahkan sama ada perintah tambahan itu wujud.

Mereka tidak menerima sebarang jawapan.

Najib mahu mahkamah memaksa kerajaan melaksanakan perintah tambahan itu, jika wujud dan meletakkannya bawah tahanan rumah.

Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun untuk memutuskan sama ada membenarkan Najib meneruskan cabaran undang-undangnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.