
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Rahmad Mariman berkata usaha itu kini dalam perbincangan akhir bersama pihak swasta dan dijangka bermula Julai ini.
“Selain menghafal al-Quran, pada masa yang sama mereka juga akan diberi peluang mengambil lesen menyelam rekreasi serta profesional yang boleh digunakan untuk kerjaya di lapangan bersesuaian pada masa akan datang.
“Sebagai permulaan kita akan mengambil 60 hingga 80 pelajar dan kita percaya pusat tahfiz TVET ini yang pertama di Malaysia yang menawarkan kursus tersebut,” katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri DUN Ayer Molek.
Sementara itu, Rahmad berkata Jaim berhasrat untuk meluaskan penggunaan jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat di Masjid Selat, Masjid Cina Melaka dan Masjid Al-Alami selain masjid daerah lain di negeri ini, selepas program itu dimulakan di Masjid Al-Azim pada April lepas.
Beliau berkata usaha menggunakan penterjemah dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Negeri Melaka (POPNM) bagi memberi kemudahan dan menyantuni golongan itu memahami khutbah yang disampaikan.
“Setakat ini kita telah laksanakan lebih sebulan di Masjid Al-Azim dan pendekatan ini membolehkan orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu memahami isi kandungan khutbah yang ditayangkan menerusi siaran langsung pada skrin layar di masjid,” katanya.