
Katanya, lembaga pengarah itu yang mempunyai lima ahli baharu dijadual memulakan suai tugas mereka pada Selasa depan.
“Selepas itu, mereka (lembaga pengarah DNS) mempunyai 20 hari untuk mengemukakan cadangan apa yang mereka fikirkan cara ke hadapan (dengan pelancaran 5G),” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Kumpulan Ericsson dan DNB.
Ditanya sama ada keputusan rangkaian kedua 5G akan dibuat selepas 20 hari, Gobind berkata, lembaga pengarah itu sedang menjalankan prosesnya dan beliau akan dikemas kini sebaik saja ia selesai.
Mei lalu, Putrajaya bersetuju dengan penyedia perkhidmatan kedua 5G, dengan peralihan kepada rangkaian dwi untuk bermula pada fasa 2 pelancaran rangkaian itu.
Ini bergantung kepada DNB yang mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk, sasaran dicapai Disember lalu.
Sehingga Mac lalu, liputan 5G DNB mencecah 80.3%.
Minggu lalu, Gobind menyifatkan pelantikan ahli baharu lembaga pengarah DNB sebagai langkah ke arah memenuhi komitmen kerajaan untuk melaksanakan rangkaian dwi itu.
Katanya, ahli lembaga pengarah akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk mengkaji penemuan usaha wajar dan berusaha ke arah memenuhi baki syarat serta memuktamadkan perjanjian langganan saham (SSA) ditandatangani 1 Dis lalu.
Lima pengendali rangkaian mudah alih yang memeterai SSA dengan DNB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan ialah CelcomDigi, Maxis, Telekom, U Mobile dan YTL Communications.
SSA ditubuhkan untuk melaksanakan dasar kerajaan berhubung peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian.