Kes Bella: Siti Bainun kekal bersalah, dipenjara 12 tahun

Kes Bella: Siti Bainun kekal bersalah, dipenjara 12 tahun

Hakim Noorin Badaruddin mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

bainun bella
Siti Bainun Ahd Razali sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata Izralizam tidak terkhilaf dalam dapatannya bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perayu.

Menurutnya, ada 18 kecederaan dan parut di badan mangsa, yang mana ia dibuktikan oleh saksi-saksi perubatan bahawa kecederaan itu bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri.

“Mahkamah mendapati, hakim mahkamah rendah tidak terkhilaf dalam dapatannya dan semua keterangan yang dikemukakan menjuruskan bahawa Siti Bainun, merupakan orang yang menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi kepada Bella.

“Setelah meneliti keterangan dua saksi yang amat dipertikaikan oleh pembelaan, mahkamah mendapati adalah sukar untuk membuat dapatan bahawa, mereka telah mereka-reka terhadap perayu.

“Sedangkan keterangan mereka disokongan oleh saksi perubatan yang secara konsisten mendapati, kecederaan Bella adalah bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri,” katanya.

Dua saksi tersebut ialah saksi pendakwaan (SP) kelima, bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood dan SP8, rakan Siti Bainun, Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam.

Noorin berkata disebabkan mangsa yang dikategorikan kanak-kanak istimewa, keterangan saksi secara keseluruhannya, telah melengkapkan naratif kes bahawa Bella telah dianiaya dan diabaikan sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.