
Katanya, kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna kebebasan untuk mencerca dan memaki hamun sesuka hati.
“Raja-raja Melayu secara konsensus meminta kerajaan lebih tegas menghalang…ini kerana mereka merasa tidak adil. (Raja-raja Melayu) diserang tapi (raja-raja Melayu) tak boleh jawab.
“… semua cakap nak pertahan Melayu, parti pun parti Melayu, tapi maki raja-raja Melayu…saya tidak akan bertolak ansur (bagi yang) langgar peraturan ini, polis akan bertindak tegas dan saya minta peguam negara kaji dan bawa ke mahkamah biar mahkamah putuskan,” katanya dalam program “Soal Jawab Perdana Menteri” malam tadi.
Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak menyentuh institusi raja, contohnya dakwaan penglibatan raja dalam penubuhan kasino.
Semalam, ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024, Anwar dilaporkan berkata, mana-mana pihak mengaitkan beliau dan kerajaan dengan mendakwa ada perbincangan projek lesen kasino di Forest City perlu dikenakan tindakan undang-undang.
Menyifatkan pihak berkenaan tiada modal berpolitik, katanya, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepadanya minat baginda untuk menubuhkan tempat perjudian di Forest City.