Biar profesional kendali FAM, kata bekas pemain

Biar profesional kendali FAM, kata bekas pemain

Legenda bola sepak negara, James Wong berkata, tiada kesinambungan jika pelantikan yang dipengaruhi politik berterusan.

james wong n santokh singh 2
James Wong menggesa pelantikan dipengaruhi politik dihentikan, manakala bekas rakan sepasukannya, Santokh Singh mahu jurulatih berprestasi rendah diberhentikan.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemain legenda negara berkata, profesional dari luar arena sukan perlu memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meningkatkan standard bola sepak dalam negara.

James Wong menyambut baik gesaan bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin untuk perubahan kepimpinan kerana tiada kesinambungan jika politik terus mempengaruhi pelantikan sedemikian.

Katanya, amalan sedemikian akan menyebabkan perubahan kerap dalam pengurusan kanan.

“Lain orang, lain idea tentang cara buat sesuatu. Apabila pelantikan adalah berasaskan partisan, tidak akan ada kemampanan dalam program untuk generasi akan datang.

“Jadi, mungkin dengan cadangan Khairy, kita boleh lakukan dengan baik. Mungkin ada kegagalan dalam prosesnya, tetapi perlu ada ketabahan. Selepas itu, baru kita boleh berharap untuk mencapai kejayaan,” kata bekas penyerang yang terkenal dengan gelaran “King James” itu kepada FMT.

Wong berkata, kesinambungan dalam program bola sepak penting untuk meningkatkan sukan itu di peringkat akar umbi dan memastikan kejayaan jangka panjangnya.

Menurutnya, cadangan Khairy tepat pada masanya kerana program pembangunan bola sepak kelihatan terbantut sejak kebelakangan ini.

Jumaat lalu, Khairy yang juga bekas timbalan presiden FAM berkata, tiba masanya melakukan peralihan dalam FAM bagi memastikan sukan itu terus bergerak dan berkembang lebih pesat.

“Mungkin kita boleh pertimbangkan seorang yang ada pengalaman daripada luar pengurusan sukan. Saya suka kalau ada (calon) dari dunia korporat kerana mereka ada komitmen kepada pengurusan dan tatakelola serta urus tadbir,” kata Khairy.

Bekas rakan sepasukan Wong dalam Harimau Malaya, Santokh Singh pula menyarankan “pembetulan segera” mungkin perlu untuk mengubah nasib bola sepak negara, selain jurulatih pasukan senior dan bawah 23 tahun lelaki negara patut dipecat susulan prestasi suram skuad mereka baru-baru ini.

“Pertukaran jurulatih boleh membawa perubahan kepada pasukan pemain yang sama,” kata bekas pertahanan negara itu.

Baru-baru ini, pasukan senior negara mengalami kekalahan 2-0 berturut-turut kepada Oman pada pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, prestasi buruk berterusan sejak Piala Asia 2023 di Qatar awal tahun ini.

Skuad Bawah 23 tahun pula menamatkan kempennya di Piala Asia B-23 2024 dengan kekalahan hatrik, iaitu tewas 1-2 kepada Kuwait, selepas kalah 0-2 kepada Uzbekistan dan Vietnam.

Santokh turut mempersoalkan keputusan mengambil jurulatih asing yang “tidak terbukti (prestasinya)” untuk pasukan kebangsaan, sambil menggesa E Elavarasan dilantik semula sebagai jurulatih skuad B-23.

Elavarasan digantikan bekas pencari bakat Barcelona, Juan Torres Garrido pada Oktober lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.