
Menteri pendidikan tinggi itu berkata, terdapat beberapa perkara asas perlu ditekankan sebelum cadangan menerima pelajar bukan Bumiputera dipertimbangkan.
“Kita belum bincangkan perkara ini, selain tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan berkenaan.
“Penting untuk kita selesaikan beberapa isu asas sebelum membincangkan cadangan berkenaan,” katanya selepas program Suara Anak Madani di Kuala Kubu Baharu malam tadi, lapor Berita Harian.
Baru-baru ini, UiTM dilapor mempertimbangkan cadangan memperluas program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks kepada doktor pelatih bukan Bumiputera.
Profesor Fakulti Perubatan UiTM Dr Raja Amin Raja Mokhtar mencadangkan perkara itu sebagai penyelesaian kepada isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ pembedahan kardiotoraks yang tidak diiktiraf.
Cadangan itu dikemukakan memandangkan program latihan ‘parallel pathway’ pembedahan kardiotoraks UiTM-Institut Jantung Negara adalah satu-satunya yang ditawarkan di negara ini.
UiTM menerima pengiktirafan sementara daripada Agensi Kelayakan Malaysia pada 2020 untuk menjalankan kursus latihan bagi pakar bedah kardiotoraks.
Bulan lepas, KKM mengumumkan Program Parallel Pathway (PPP) akan diiktiraf, selain mencadangkan agar Jemaah Menteri menyegerakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi tujuan itu.
Pada 19 April lepas, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan KKM bersetuju untuk menyelesaikan isu PPP bagi pakar perubatan.