Bella masih trauma selepas 3 tahun dianiaya, kata peguam

Bella masih trauma selepas 3 tahun dianiaya, kata peguam

Khairul Anwar Rahmat berkata Bella juga masih perlu menjalani rawatan susulan kecederaan dialami sepanjang diabai dan dianiaya Siti Bainun Ahd Razali di antara Februari dan Jun 2021.

bella siti bainun
Bella ketika hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan secara tertutup pada September 2022. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella masih merasa trauma walaupun selepas hampir tiga tahun berdepan kejadian diabai dan dianiaya pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang hukuman bersalah dikekalkan Mahkamah Tinggi.

Khairul Anwar Rahmat, peguam pemerhati yang dilantik Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata remaja itu juga masih perlu menjalani rawatan susulan kecederaan dialami sepanjang tempoh berkenaan.

“Sehingga kini Bella masih terkesan dan belum boleh menerima kesakitan dialami, dia masih trauma.

“Walaupun ada kecederaan sudah pulih namun dia perlu jalani rawatan susulan terutama kecederaan melibatkan kulit,” katanya ditemui media selepas pendengaran keputusan permohonan rayuan Siti Bainun.

Pada prosiding itu, Hakim Noorin Badaruddin mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada tahun lalu.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Dalam perkembangan sama, Khairul berkata ujian klinikal dibuat pakar perubatan termasuk tulang remaja terbabit turut mengesahkan umur sebenar Bella kini berusia 17 tahun.

Susulan itu, pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memohon Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) memberikan MyKad kepada remaja perempuan itu tetapi sehingga kini belum ada sebarang jawapan.

“Kami ambil kesempatan ini merayu pihak berwajib terutamanya JPN di bawah bawah Kementerian Dalam Negeri untuk memberi maklum balas terhadap permohonan kad pengenalan Bella.

“Sehingga hari ini kami belum dimaklum tentang status kad pengenalan Bella. Saya percaya JKM sudah membuat permohonan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.