Bekas Ahli Parlimen gagal rayu ketepi saman fitnah

Bekas Ahli Parlimen gagal rayu ketepi saman fitnah

Mahkamah berkata N Gobalakrishnan dengan jelas memfitnah pasangan suami isteri melalui tiga mesej di WhatsApp.

Pada 23 Feb tahun lalu Mahkamah Tinggi membenarkan saman fitnah pasangan itu terhadap N Gobalakrishnan dan memerintahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada mereka.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM150,000 kepada sepasang suami isteri dalam satu saman fitnah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Lee Swee Seng, Che Mohd Ruzima Ghazali dan Azhahari Kamal Ramli turut mengarahkan Gobalakrishnan membayar kos RM15,000 kepada juruterbang Malaysia Airlines iaitu S Selvakumar dan R Indrani, yang merupakan bekas bendahari PKR bahagian Sungai Siput.

Peguam pasangan itu Rueben Mathiavaranam, yang mengesahkan keputusan mahkamah, memaklumkan Lee berkata Gobalakrishnan dengan jelas memfitnah Indrani dan suaminya melalui tiga mesej di WhatsApp.

Lee berkata, jika Gobalakrishnan mempertikai mesej terbabit, beliau sepatutnya menghubungi syarikat telekomunikasi bagi menunjukkan nombor telefon yang digunakan untuk menghantar komunikasi (fitnah) itu tidak dilakukan melalui nombor telefonnya.

Menurut Rueben, Lee berkata ini akan menyangkal anggapan penerbitan di bawah Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Pada 23 Feb tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan saman fitnah pasangan itu terhadap Gobalakrishnan dan memerintahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada mereka.

Kenyataan tuntutan pasangan itu, yang difailkan pada 7 Nov 2019, mendakwa Gobalakrishnan menghantar mesej WhatsApp bersama-sama gambar mereka dan perkataan fitnah serta nota suara kepada seorang individu.

Mereka memohon, antara lain, ganti rugi am, perintah injunksi bagi menghalang Gobalakrishnan daripada terus menulis atau menerbitkan perkataan fitnah terbabit, faedah atas ganti rugi, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Nur Izzatul Amirah Zawawi mewakili Gobalakrishnan pada prosiding mahkamah hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.