
Mereka mahu keputusan sebulat suara diperoleh daripada semua waris dalam pertemuan khas di Dewan Hamzah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada Ahad ini.
Waris, Aminnullah Kamarudin, 39, membantah pemindahan kubur arwah ibunya kerana kawasan itu tanah wakaf dan mahu pihak berkaitan mengambil kira sensitiviti isu itu dengan menggunakan kaedah lain tanpa menyentuh pusara yang kebanyakannya baru berusia dua tahun.
“Saya bukan memikirkan soal pampasan, namun tanah wakaf bagi kubur tidak sepatutnya dijadikan laluan ECRL.
“Justeru, saya kekal membantah kerja penggalian dan pemindahan itu, selain mahu jalan penyelesaian tuntas diputuskan pihak bertanggungjawab,” katanya menurut Harian Metro.
Seorang lagi waris, Hazlina Hasbullah, 48, kecewa pemakluman pemindahan itu tidak dibuat lebih awal dan mendakwa sudah mendapatkan 26 waris yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan pemindahan kubur itu.
“Kami hanya dimaklumkan hujung April lalu, sedangkan ia membabitkan projek pembinaan berskala besar. Saya mahu sesi pertemuan hujung minggu ini disertai 90 waris dan mereka wajib dikumpulkan bagi memperoleh keputusan sebulat suara.”
Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan penangguhan seminggu lagi untuk kerja memindahkan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.
Wakil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, pihaknya masih mengesan 20 waris untuk menyertai pertemuan pada hujung minggu ini.
“Kita akan memastikan segala kerja pemindahan kubur itu dilaksanakan mengikut syariat Islam dan prosedur betul.”
Terdahulu, lebih 200 waris dan penduduk setempat menyertai pertemuan selama sejam bersama wakil Jais berhubung isu itu.
Tinjauan akhbar itu mendapati kawasan kubur berkenaan ditutup zink biru dan dikawal puluhan anggota polis. Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong turut hadir.