Setahun derita diperas ugut, suami isteri gesa SKMM ambil tindakan

Setahun derita diperas ugut, suami isteri gesa SKMM ambil tindakan

Personaliti media sosial, Santhi Raj Barr berulang kali membuat laporan polis terhadap seorang anggota polis digantung tugas berhubung kenyataan fitnah mengenainya di TikTok.

Personaliti media sosial, Santhi Raj Barr mendakwa seorang anggota polis digantung tugas memuat naik video berunsur fitnah mengenainya di TikTok sejak setahun lalu.
PETALING JAYA:
Seorang personaliti media sosial dan suaminya menggesa polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan segera terhadap seorang lelaki didakwa memeras ugut mereka.

Santhi Raj Barr dan suaminya, Rayan Sanjev Barr mendakwa lelaki berkenaan ialah anggota polis yang digantung tugas.

Santhi memberitahu FMT, beliau berulang kali melaporkan perkara itu kepada polis dan SKMM kerana mendakwa individu terbabit menyebarkan kenyataan palsu serta fitnah mengenainya di TikTok.

“Semuanya bermula selepas suami, M Mahaviknaraj meninggal dunia pada 2017 dan sahabat baiknya memaklumkan kematian itu bukan atas sebab biasa.

“Bersamanya ketika itu seorang pegawai polis yang bersetuju dengan segala yang dimaklumkan kepada saya. Sahabat baik itu kemudian memaklumkan laporan bedah siasat kematian Mahaviknaraj perlu diubah supaya tidak meninggalkan kesan hitam dalam hidup saya,” kata Santhi yang mengahwini Rayan beberapa tahun selepas kematian mendiang suaminya.

Beliau mendakwa dua hari selepas pengebumian Mahaviknaraj, dua lelaki itu datang kepadanya sekali lagi memaklumkan telah mengubah laporan bedah siasat dan memintanya membayar RM300,000 kepada pegawai polis terbabit.

“Walaupun saya melarang mereka mengubah laporan itu, mereka mula mengugut kononnya akan ‘mendedahkan kebenaran’ kepada polis mengenai saya.

“Saya sekali lagi menyuruh mereka buat apa saja kerana banyak perkara perlu diuruskan pada 2017. Ketika itulah penipuan dan peras ugut mereka bermula.”

Menurutnya, beliau tidak membuat laporan polis kerana pada awalnya peras ugut terhadapnya tidak diteruskan. Bagaimanapun, katanya, pegawai polis yang digantung tugas itu mula memuat naik video mengenainya dan Mahaviknaraj di TikTok tahun lalu.

“Apabila melihat saya dan Rayan tidak memberi sebarang reaksi terhadap video itu, dia mula membuat lebih banyak video mendakwa saya berhutang wang kepadanya.

“Dia juga berkongsi gambar anak lelaki saya dan ketika itulah saya pertama kali membuat laporan polis. Ketika itu, kami merasakan dia cuba memeras ugut kami.”

Rayan mendakwa polis dan SKMM tidak mengambil tindakan walaupun pelbagai laporan dibuat. SKMM hanya menurunkan beberapa video dikongsikan lelaki berkenaan.

“Bagaimanapun, dia kemudian memuat naik semula video berkenaan. Tiada tindakan diambil polis atau SKMM, dan pegawai polis yang digantung tugas itu masih memuat naik kandungan (ke TikTok).”

Menurutnya, beliau dan Santhi baru-baru ini memfailkan saman fitnah terhadap lelaki itu.

“Kami berjaya memperoleh perintah injunksi, tetapi ketika (peguam kami) cuba menyerahkan kepadanya, dia enggan menandatanganinya. Injunksi itu untuk menghalangnya berkongsi sebarang hantaran dan menurunkan semua hantaran terdahulu.”

Rayan malah mendakwa lelaki itu mengejar peguam mereka menggunakan kereta ketika cuba menyerahkan perintah injunksi berkenaan.

“Firma guaman itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

FMT telah menghubungi polis dan SKMM untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.