
Beliau berkata, hal ini berdasarkan taklimat Majlis Tindakan Pembangunan Selangor yang merekodkan 861 keluarga masih dalam kategori miskin tegar.
Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri diarahkan untuk menyalurkan lebihan dana Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) membabitkan pemberian bantuan RM300 sebulan kepada golongan itu.
“Ada sebahagian mereka yang hanya memerlukan tambahan RM17 lagi kepada pendapatan mereka untuk keluar daripada tahap kelompok kemiskinan setiap bulan.
“Jadi, saya percaya dengan pemberian bantuan RM300 itu dicampur zakat sebab (dalam jumlah senarai miskin tegar itu) kita ada 500 lebih masyarakat Melayu dan selebihnya bukan Melayu yang akan dapat kita tangani,” katanya pada majlis sambutan raya anak muda Batang Kali di sini, malam tadi.
Mengenai isu Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli yang dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan atas dakwaan salah guna kuasa, Amirudin berharap ia tidak dijadikan isu kempen PRK Kuala Kubu Baharu.
“Biar SPRM jalankan tugas…kita (Pakatan Harapan) tak mahu mencatatkan kejayaan berdasarkan bencana yang menimpa pihak lawan.
“Apa cuba ditampilkan PH ialah menunjukkan apa yang telah dicapai, terutamanya sumbangan mendiang Lee Kee Hiong (penyandang kerusi KKB) dan perkara yang bakal dilaksanakan calon Pang Sock Tao, di samping sokongan kuat program kebajikan dan pembangunan kerajaan negeri,” kata naib presiden PKR itu.
PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas), susulan kematian Lee pada 21 Mac lalu akibat kanser.