Pekerja kerajaan gred rendah mungkin naik gaji hingga 30%

Pekerja kerajaan gred rendah mungkin naik gaji hingga 30%

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan utama kelompok bergaji rendah dan kurangkan kelompok bergaji tinggi.

penjawat awam
Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan, berkata kenaikan gaji lebih 13% diumumkan hanya gaji pokok dan bukannya elaun.
PETALING JAYA:
Kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13% bertujuan menambah pendapatan pekerja gred rendah, berbanding kelompok bergaji tinggi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Bagi kalangan yang (bergaji) rendah mungkin cecah 25 hingga 30%.

“..saya utamakan kelompok (bergaji) rendah dan kurangkan di kelompok yang tinggi,” katanya menurut Bernama dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan.

Perdana menteri berkata, kenaikan melebihi 13% itu melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun, dan perincian mengenainya akan dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum diputuskan.

“Walaupun pernah diperkenal dulu 35%, tapi itu daripada gred 1 hingga gred 16, tapi secara keseluruhannya ini masih antara yang paling tinggi dengan kos yang sangat tinggi mencecah lebih RM10 bilion,” kata Anwar yang juga menteri kewangan.

Menyifatkan pengumuman yang dibuat sempena Hari Pekerja itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa penjawat awam kepada negara, perdana menteri pada masa sama mahu golongan berkenaan supaya terus meningkatkan produktiviti selari dengan kenaikan gaji yang dinikmati.

“Diharap ini mendorong penjawat awam kerja lebih gigih, hentikan lembab, malas dan ketirisan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, kena lebih tegas mengawal kalau ada kecelaruan atau ketirisan di jabatan kerajaan.

“Semua kementerian kena pantau supaya mulai bulan ini kita lihat peningkatan dalam semua aspek, jangan rakyat tunggu berjam-jam, tunggu kelulusan lesen lama, kena cekap kena ada perubahan, saya harap sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu semasa merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024, perdana menteri berkata kenaikan gaji itu antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah.

Anwar berkata, di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding pada masa ini yang menyaksikan jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam RM1,795 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.