Cukai jalan tamat tempoh, 2 lelaki ditahan langgar polis

Cukai jalan tamat tempoh, 2 lelaki ditahan langgar polis

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, anggota polis dilanggar itu tidak cedera dan ujian saringan air kencing dua suspek negatif dadah.

Dua lelaki tempatan berusia 27 dan 38 tahun direman tiga hari kerana menghalang tugas penjawat awam.
PETALING JAYA:
Dua penunggang motosikal ditahan kerana melanggar anggota polis ketika mengelak sekatan jalan raya disebabkan cukai jalan tamat tempoh.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, seorang suspek yang menunggang Yamaha Y15ZR bertindak agresif ketika ditahan di Jalan Pandan Indah, Ampang pada 11.45 pagi semalam.

“Semasa anggota bertugas menghampiri Yamaha Y15ZR, tiba-tiba suspek memulas minyak untuk melarikan diri lalu melanggar anggota bertugas menyebabkan suspek terbabas ke bahu jalan dan terjatuh.

“Seorang lagi suspek yang menaiki Suzuki Axelo pula tidak memberi kerjasama semasa pemeriksaan badan dan motosikal,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, anggota polis dilanggar itu tidak cedera dan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 38 tahun ditahan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Balai Polis Ampang Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah saman turut dikeluarkan kepada mereka kerana cukai jalan tamat tempoh.

Menurutnya, ujian saringan air kencing dua lelaki itu negatif dadah, tetapi semakan mendapati seorang daripadanya mempunyai 12 rekod jenayah.

Dua suspek direman tiga hari mulai hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya yang menasihatkan orang ramai bekerjasama dengan polis semasa pemeriksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.