Akar umbi Umno KKB ‘dicerahkan’, Zahid yakin penyokong undi calon DAP

Akar umbi Umno KKB ‘dicerahkan’, Zahid yakin penyokong undi calon DAP

Presiden Umno berkata pembangkang tandus modal pada PRK Kuala Kubu Baharu apabila terus bangkit sentimen hubungan Umno-DAP.

Zahid Hamidi berkata, bukan kali pertama taktik ‘UmDAP’ dimainkan kerana perkara sama diguna pada PRN lalu. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Mainan slogan ‘UmDAP’ merujuk hubungan Umno-DAP dalam kerajaan perpaduan bukti pembangkang ketandusan modal pada PRK Kuala Kubu Baharu, kata Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, presiden Umno itu yakin penyokongnya akan  mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP, Pang Sock Tao, susulan ‘pencerahan’ di peringkat akar umbi.

“Ini bukan pertama kali, mereka melakukan taktik dipanggil ‘UmDAP’ ini, pilihan raya enam negeri yang lepas juga turut dimainkan isu yang sama.

“Saya pasti banyak isu lama akan diputar semula bagi PRK Kuala Kubu Baharu ini kerana mereka telah ketandusan modal dan gunakan modal lama untuk hentam Umno,” katanya menurut Bernama di pekarangan Kompleks Umno Jelebu Simpang Pertang.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang kerjasama antara Umno-DAP ditolak ramai termasuk dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

Zahid, yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata beberapa siri penjelasan akar umbi telah ‘mencerahkan’ beberapa kekaburan berhubung kerjasama Umno-DAP.

PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei depan menyaksikan Pang dicabar Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasinoanl (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia), dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Isnin lalu, Pemuda Umno Selangor membuat laporan polis berhubung papan tanda menggabungkan logo Umno dan DAP, dikatakan dibawa penyokong PN ketika hari penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Pemuda Umno Selangor, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan, berkata ia bertujuan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.