2 pekerja kilang separa sedar terhidu gas bocor

2 pekerja kilang separa sedar terhidu gas bocor

Menurut bomba, pasukan Hazmat telah membuat operasi nyah cemar terhadap mangsa dan sekitar kawasan kilang di Kulim itu.

Anggota Hazmat melakukan pemeriksaan susulan insiden kebocoran gas di sebuah kilang di Kulim, Kedah. (Gambar JBPM)
KULIM:
Dua pekerja sebuah kilang menghasilkan produk berasaskan plastik di Lunas berada dalam keadaan separa sedar manakala dua lagi mengalami pening dan loya selepas dipercayai terhidu gas fenol hari ini.

Komander Operasi Kanan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Hamizul Azwan Hamdan, berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.53 pagi tadi, yang memaklumkan berlaku kejadian kebocoran gas di sebuah kilang.

“Jentera bomba tiba lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan mendapati berlaku kebocoran bahan kimia iaitu gas fenol.

“Semua pekerja lelaki terbabit termasuk seorang warga Bangladesh dihantar ke Hospital Kulim,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pasukan Hazmat telah membuat operasi nyah cemar terhadap mangsa dan sekitar kawasan kilang.

“Pasukan Hazmat Kulim Hi-Tech telah mengesahkan tiada lagi bacaan bahan kimia berbahaya di lokasi. Operasi terkawal pada 11.19 pagi dan tamat sepenuhnya pada 11.50 pagi tadi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.