Warga emas didakwa salah guna wang koperasi lebih RM400,000

Warga emas didakwa salah guna wang koperasi lebih RM400,000

Pengerusi koperasi berusia 73 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Zainol Ishak, 73, pengerusi Koperasi Felda Palong Empat Negeri Sembilan Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini kerana menyalahgunakan wang berjumlah RM422,440 milik koperasi yang dipengerusikannya.

Zainol Ishak, 73, pengerusi Koperasi Felda Palong Empat Negeri Sembilan Berhad, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, lapor Bernama.

Zainol didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang daripada akaun bank milik koperasi itu untuk kegunaan dirinya antara Ogos 2020 hingga November 2021 di sebuah bank di Jalan Tampin, Gemas.

Dia berdepan tuduhan bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Pada prosiding itu, peguam Shahidah Muslimah Roslan merayu jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pendakwaan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri dan empat cucu yang kematian ayah, selain menghidap penyakit darah tinggi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.