SKMM tak keterlaluan buat laporan polis terhadap penulis blog, kata Fahmi

SKMM tak keterlaluan buat laporan polis terhadap penulis blog, kata Fahmi

Menteri komunikasi itu berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ada alasan atas tindakan undang-undang yang mereka ambil.

fahmi fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil juga Lawyers for Liberty (LFL) bahawa mereka boleh mengkritik dan mengulas, tetapi mana-mana pihak tiada hak untuk menyentuh isu melibatkan fitnah dan 3R. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mempertahankan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang membuat laporan polis terhadap seorang penulis blog, dan berkata tindakan itu ‘sebagai tidak keterlaluan’.

Semalam SKMM membuat laporan polis terhadap Murray Hunter selepas penulis blog itu menuduh badan kawal selia internet itu menjadi institusi berlandaskan politik dalam pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kritikan Lawyers for Liberty (LFL) yang menyifatkan langkah SKMM itu sebagai melampau dan tidak perlu.

“Saya tak rasa tindakan mereka (SKMM) keterlaluan. Mereka ada alasan atas tindakan undang-undang yang mereka ambil,” kata Fahmi dalam sidang media di Wisma Bernama selepas mengadakan pertemuan bersama rakan strategik Hawana 2024.

Fahmi juga mengingatkan LFL bahawa mereka boleh mengkritik dan mengulas, tetapi mana-mana pihak tiada hak untuk menyentuh isu melibatkan fitnah dan 3R.

Laporan polis itu dibuat SKMM berhubung artikel Hunter yang menyentuh tentang penahanan ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, dan dikatakan menuduh SKMM melangkaui bidang kuasa untuk kepentingan diri.

SKMM juga mendakwa Hunter melemparkan tohmahan bahawa badan itu bertindak menakut-nakutkan rakyat.

“Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM,” kata SKMM dalam kenyataan.

SKMM juga meminta Hunter tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi sekiranya mempunyai sebarang aduan terhadap badan kawal selia itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.