
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata permohonan itu akan didengar di dalam kamar di hadapan Hakim Amarjeet Singh pada 2.30 petang.
Shamsul berkata semua pihak dimaklumkan mengenai pendengaran itu menerusi emel daripada mahkamah semalam.
Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu diwakili tetuan Cecil Abraham & rakan-rakan.
Shamsul akan wakili peguam negara manakala tetuan Shafee & Co akan mewakili Najib.
Tidak dapat dipastikan sama ada peguam negara atau Najib akan membantah permohonan itu.
Pada minggu lalu, Zafrul berkata beliau mahu memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit Presiden Umno Zahid Hamidi berhubung tahanan rumah Najib.
Beliau berkata pendirian memfailkan afidavit itu yang dibuat selepas mendapat nasihat undang-undang bukan untuk mempertikaikan merit isu sedang berlangsung.
Dalam afidavit difailkan Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu, beliau mendakwa melihat perintah tambahan untuk Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri mendakwa beliau dimaklumkan perkara itu oleh Tengku Zafrul dalam pertemuan di kediamannya pada 30 Jan lalu.
Najib memfailkan permohonan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Perintah tambahan itu supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Beliau sebelum ini diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menjadikan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Amarjeet akan memutuskan pada 5 Jun ini sama ada Najib mempunyai merit untuk membenarkan kesnya didengar.