
Harian Metro melaporkan Badrul, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rasidah Roslee.
Dia didakwa membuat penerbitan menghasut di akaun Facebook Chegubard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang 26 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Badrul diwakili peguam Rafique Rashid Ali manakala Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hadir sebagai peguam pemerhati dan memberi sokongan kepada tertuduh.
Timbalan pendakwa raya mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, selain memohon perintah larangan supaya tertuduh tidak membuat kenyataan umum di mana-mana, termasuk platform media sosial sehingga kes selesai bagi memastikan perjalanan kes tidak diganggu.
Rafique bagaimanapun menyifatkan cadangan jaminan terlalu tinggi selepas mengambil kira jumlah denda jika sabit kesalahan atas pertuduhan itu.
“Anak guam sudah dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan jaminan ditetapkan pada RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Perintah larangan yang dimohon pihak pembelaan pula tidak khusus dan bersifat injunksi. Perintah itu tidak berperlembagaan kerana mengikut Perkara 10 (Perlembagaan), rakyat Malaysia ada kebebasan membincang sesuatu perkara secara terbuka mengikut undang-undang.”
Hakim membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menolak cadangan perintah larangan atas alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit bertulis bagi menunjukkan tertuduh atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Jun ini bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.