Tiada bukti kes pedofilia di MRSM Tumpat, kata polis

Tiada bukti kes pedofilia di MRSM Tumpat, kata polis

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun siasatan kes itu selesai selepas polis merakam keterangan kedua-dua pihak yang terbabit.

Muhamad Zaki Harun berkata polis kini menyiasat tulisan di media sosial itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siasatan polis berhubung kes pedofilia melibatkan seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tumpat, Kelantan mendapati tiada bukti menunjukkan perkara sedemikian berlaku, kata Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun.

Zaki berkata, siasatan kes itu selesai selepas kenyataan daripada kedua-dua belah pihak sudah diambil, lapor Harian Metro.

“Hasil siasatan mendapati tidak ada bukti menunjukkan berlakunya gangguan seksual dan tidak wujud pedofilia terhadap mangsa yang kini berusia 24 tahun,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Katanya, siasatan juga mendapati guru yang didakwa terbabit dengan aktiviti itu mempunyai sikap dan kriteria yang baik.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan perubatan ke atas wanita berkenaan,” katanya yang menambah polis juga menyiasat sama ada dakwaan tersebut dibuat kerana dendam atau fitnah.

Kata Zaki, polis kini membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi siasatan ke atas penulisan di media sosial berkenaan.

Pada 28 Mac, seorang individu menerusi media sosial mendakwa seorang guru di sebuah sekolah di Tumpat yang diketahui sebagai seorang pedofil masih mengajar di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, guru terbabit yang dituduh melakukan perbuatan itu membuat laporan di Balai Polis Tumpat dengan mendakwa dia difitnah.

Susulan dakwaan tersebut, polis menjalankan siasatan lanjut termasuk memanggil 14 individu untuk dirakam keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.