Letupan bom Sungai Golok: 4 anggota keselamatan Thai cedera

Letupan bom Sungai Golok: 4 anggota keselamatan Thai cedera

Polis syak bom ditanam penjenayah di laluan kenderaan anggota keselamatan.

Sungai Golok
Empat anggota keselamatan itu dipercayai terkena bom di Kampung Pasemas, Sungai Golok, Thailand, malam tadi. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Empat anggota keselamatan Thailand cedera terkena letupan bom dipercayai diletakkan penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok, Thailand, malam tadi.

Ketua Polis Sungai Golok Jadsadavit Inprapan, berkata kejadian berlaku pada 12.05 tengah malam, semasa anggota berkenaan dalam perjalanan bagi melaksanakan tugas keselamatan di pekan Sungai Golok dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, polis syak penjenayah telah menanam bom di laluan kenderaan anggota keselamatan berkenaan.

“Ketika tiba di simpang tiga berdekatan pangkalan, telah berlaku satu letupan dan penyerang turut menembak menggunakan pistol. Anggota keselamatan membalas tembakan itu sebelum penyerang kemudiannya melarikan diri,” katanya kepada Bernama.

Empat anggota yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Sungai Golok bagi mendapatkan rawatan.

Jadsadavit berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian polis menemukan sebuah kenderaan model sedan berwarna putih yang mempunyai nombor plat negara jiran.

Beliau berkata, susulan kejadian pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitar kawasan itu.

Pagi tadi, Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberitahu Bernama, polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai datang dari sekitar kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.