Chegubard mengaku tak salah tuduhan fitnah, hasutan

Chegubard mengaku tak salah tuduhan fitnah, hasutan

Ahli Bersatu itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini untuk menghadapi 2 tuduhan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, didakwa atas dua tuduhan fitnah jenayah dan hasutan di Mahkamah Sesyen hari ini.

Badrul, 45, yang diwakili Rafique Rashid Ali selaku peguam, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana beliau mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan didakwa dilakukan di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Januari lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Chegubard juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Taman Bukit Cheras, di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Ikat jamin ditetapkan RM10,000 bagi setiap tuduhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.