Bomoh rogol, cabul remaja dipenjara 35 tahun

Bomoh rogol, cabul remaja dipenjara 35 tahun

Tertuduh, Zemi Ibrahim, 51, turut dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah atas empat tuduhan itu.

Mahkamah Sesyen Muar
Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 10 sebatan terhadap bomoh, Zemi Ibrahim, 51, kerana melakukan amang seksual dan merogol seorang remaja dua tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bomoh dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas mengaku salah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol remaja dua tahun lalu.

Tertuduh, Zemi Ibrahim, 51, membuat pengakuan itu selepas kes disebut semula di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, menurut Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 14 tahun ketika itu dalam tandas sebuah rumah di Pagoh pada November 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa merogol mangsa sejak April hingga Julai tahun lalu, dengan kejadian berlaku di tempat sama. Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua hingga keempat, masing-masing 10 tahun serta tiga sebatan.

Semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu 16 Oktober 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.