Tular pukul warga emas, pengurus rumah kebajikan didenda RM4,500

Tular pukul warga emas, pengurus rumah kebajikan didenda RM4,500

L Vignesvari, 36, mengaku salah atas dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan kepada P Tharmalingan, 69.

warga emas dipukul
Rakaman video memaparkan warga emas dipukul di rumah kebajikan yang tular di media sosial.
PETALING JAYA:
Pengurus rumah kebajikan dikenakan denda RM4,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kulim.

Majistret Jamaliah Abd Manap menjatuhkan hukuman itu terhadap L Vignesvari, 36, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.

Wanita itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada P Tharmalingan, 69, dengan menggunakan kayu di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Karangan, dekat sini lebih kurang 3 petang, 22 April.

Vignesvari dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Suhailah Ahmad yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk pengajaran sahaja, memandang dia seorang ibu tunggal dan memiliki seorang anak berusia dua tahun selain tiada pendapatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S Pavitra memohon hukuman setimpal dijatuhkan terhadap wanita itu memandangkan kes tersebut berkepentingan awam dan sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, lapor Bernama.

Sebelum ini, tular rakaman video seorang warga emas dipukul dengan kayu dengan kejadian berlaku di premis tidak berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata hal itu dibongkar selepas siasatan dilakukan JKM serta polis terhadap rumah kebajikan swasta itu.

Lelaki dituduh bunuh

Sementara itu, di mahkamah sama seorang lelaki didakwa membunuh seorang pemandu lori pada 25 Feb.

Tertuduh, R Uvarajan, 29, didakwa membunuh M Sharma Naidu, 28, di hadapan sebuah kedai mencuci kereta dan kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai, dekat Kulim dengan cara menetak mangsa menggunakan senjata tajam di bahagian muka, tangan dan badan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Uvarajan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Pavitra, manaka Netaji Rayer mewakili Uvarajan.

Majistret Jamaliah menetapkan 17 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.