Sita kereta Bugatti: SPRM mohon maklumat terkini dari Jerman

Sita kereta Bugatti: SPRM mohon maklumat terkini dari Jerman

Azam Baki berkata suatu mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland dibuat pada 2021, berkaitan '50 kereta mewah yang terlibat dalam siasatan 1MDB'.

SPRM minta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1MDB yang digunakan untuk beli kereta mewah pada 26 Okt 2022, menurut Azam Baki. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memohon maklumat terkini berkaitan skandal 1MDB daripada pihak berkuasa Jerman, susulan laporan berkenaan sitaan kereta super Bugatti Veyron edisi khas di Munich.

Badan anti-rasuah itu mengikuti perkembangan siasatan di Jerman dan Switzerland, menurut kenyataan Ketua Pesuruhjaya Azam Baki.

Katanya, SPRM meminta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1MDB yang digunakan untuk “membeli kereta mewah” di Jerman pada 26 Okt 2022.

“Dalam perkembangan terbaharu ini, SPRM telah menghantar permohonan untuk maklumat terkini daripada pihak Jerman,” kata Azam.

Semalam, polis Jerman dilapor menyita empat Bugatti Veyron edisi khas, awal minggu ini, dalam siasatan ke atas skandal 1MDB.

Akhbar Jerman, Bild, melaporkan empat kereta super itu disita daripada sebuah kemudahan penyimpanan persendirian.

Mengulas lanjut tentang kereta mewah berkait kes 1MDB, Azam memaklumkan SPRM memulakan siasatan berhubung isu itu sejak 2020.

Katanya, suatu mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland dibuat pada 2021, berkaitan “50 kereta mewah yang terlibat dalam siasatan 1MDB”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.