
Beliau berkata, fokusnya kini memantapkan kerjasama dengan semua parti dalam kerajaan perpaduan yang turut disertai BN bagi menghadapi PRK.
“Ketika ini kerajaan perpaduan sudah ditubuhkan. Saya sekarang sebagai calon kerajaan perpaduan dan akan bergerak sebagai pasukan dan bekerja keras sepanjang kempen PRK.
“(Jika tindakan sedemikian berulang) saya tetap akan fokus kepada kempen dan menyampaikan agenda serta pembangunan akan dibawa ke kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Semalam, Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching, memaklumkan ucapan calon DAP PRK itu mengkritik BN ialah video lama diambil pada November 2022 ketika kempen PRU15 di Kulai, Johor.
Video Pang, yang juga setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pada asalnya dimuat naik di akaun TikTok jaguh1119 pada 13 Nov 2022.
Dalam video itu, Pang berkata rakyat Malaysia “putus harapan terhadap Malaysia” selepas lebih 60 tahun pemerintahan BN.
Sementara itu, Pang berkata aspek kebajikan golongan belia dan wanita antara fokus akan diketengahkan dalam kempennya.
“Selain itu, saya akan meneruskan rancangan pembangunan dan agenda diatur mendiang Lee Kee Hiong, jika diberi peluang mewakili suara rakyat di Kuala Kubu Baharu nanti,” katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini menyaksikan pertembungan empat penjuru di mana Pang akan menentang calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Lee yang juga bekas ketua Wanita DAP Selangor akibat kanser pada 21 Mac lalu.
Azhari pula berkata, beliau akan fokus kepada kempen memenangkan PN dan enggan mengulas dakwaan tidak mempunyai ijazah tetapi memiliki sarjana dari universiti tempatan.
“Saya nak fokus kempen pilihan raya. Saya jawab kemudian,” katanya.