
Pada PRN Ogos lalu, Muda meletakkan calonnya Dr Siva Prakash di kerusi itu namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Lee Kee Hiong yang memperoleh majoriti 4,119 undi.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat pengaruh Muda di kawasan berkenaan “sangat minimum” dan dikhuatiri akan hilang deposit jika memilih untuk turut serta “perang kerajaan-pembangkang” itu.
“Muda sedar tidak mampu membawa apa-apa perubahan kepada undian pengundi biarpun mereka bertanding.
“Selain itu, tiada apa-apa yang boleh mereka tunjuk atau buktikan sama ada di senario peringkat negeri mahupun persekutuan,” katanya kepada FMT mengulas pengumuman Muda tidak bertanding PRK Kuala Kubu Baharu.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga mengumumkan perkara sama.
Kedua-duanya menjelaskan keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada pengundi mengemukakan referendum kuat antara parti pemerintah dan pembangkang utama iaitu Perikatan Nasional (PN).
PH mengumumkan Pang Sock Tao daripada DAP sebagai calon manakala PN menamakan Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata suasana demografi mahupun sentimen di DUN Kuala Kubu Baharu sememangnya kurang berpihak kepada Muda jika mereka bertanding.
“Keputusan (Muda) tidak bertanding adalah langkah baik. Mereka tahu peluang untuk menang itu sangat nipis.
“Lebih baik mereka fokus isu yang berkaitan dengan kehidupan dan kesusahan rakyat serta perlu memberi lebih perhatian bagaimana menyantuni rakyat di kawasan-kawasan bagi memastikan kekal relevan,” katanya.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berpendapat, tiada keperluan untuk Muda membazir wang dan tenaga pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana memang sukar untuk mereka raih kemenangan.
“Memang betul dalam sistem demokrasi lebih banyak pilihan itu bagus, tapi perlu juga ada kebijaksanaan. Mereka masih perlu lebih banyak berusaha untuk mendapat tempat di kalangan rakyat,” katanya.