Pemula, pemodal teroka puji KL20 hubung pemegang taruh

Pemula, pemodal teroka puji KL20 hubung pemegang taruh

Pengasas syarikat pemula tempatan berkata, hubungan sedemikian penting agar mereka dapat mempamerkan kepakaran teknologi.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (dua dari kiri) pada acara prapelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di bangunan Parlimen. Bersamanya, (dari kiri) Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Mohammad Yusof Apdal; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sidang Kemuncak KL20 2024 dan kertas tindakan yang dilancarkan pada Isnin mendapat sambutan hangat daripada syarikat pemula tempatan yang berkata, inisiatif itu menyediakan akses kepada pemodal teroka berkualiti tinggi.

Wan Wardatul Amani Wan Salim, pengasas bersama syarikat teknologi nanoSkunkWorkX (nSWX) berkata, akses sedemikian penting kerana ia membolehkan syarikat pemula mempamerkan kepakaran teknologi mereka.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat pemula menjelaskan cabaran dihadapi mereka kepada pemodal teroka terbabit. Pelabur juga akan memperoleh pemahaman lebih baik mengenai produk yang ditawarkan, tambahnya.

“Saya puji usaha kerajaan melibatkan komuniti global dengan syarikat pemula tempatan dalam misi mengubah dunia di Malaysia. Pengalaman saya dengan komuniti global pada Isnin sangat positif, menonjolkan momentum Malaysia,” kata Wan Wardatul kepada FMT.

Pada Isnin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan kertas tindakan KL20, satu pelan hala tuju komprehensif yang menggariskan pembaharuan ketara untuk mencapai penumpuan dalam kalangan pemegang taruh utama – pengasas, pemodal teroka, bakat, inkubator dan pemecut – untuk melonjakkan sektor pemula teknologi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan menyasarkan untuk melonjakkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai antara 20 hab pemula global teratas menjelang 2030. Katanya, cabaran semasa bagi syarikat pemula tempatan adalah mengakses pembiayaan, mengatasi cabaran kawal selia dan menarik bakat terbaik.

Pengasas Qarbotech Sdn Bhd, Suraya Abdul Rashid menganggap pelan tindakan KL20 itu sebagai suatu rancangan yang berpandangan ke hadapan dan komprehensif, kerana ia menangani aspek kritikal dalam pembangunan sektor pemula tempatan dengan meningkatkan akses kepada modal teroka, melonggarkan rangka kerja kawal selia, dan menggiatkan pemerolehan bakat.

Suraya, yang juga saintis utama di syarikat itu berkata, bagi syarikat teknologi pertanian seperti Qarbotech, pelan tindakan itu bukan sahaja memudahkan proses perniagaan malah kemajuan teknologi dan amalan lestari melalui komitmen kerajaan terhadap inovasi.

“Dengan pelaburan yang lebih besar, syarikat teknologi pertanian boleh menskalakan penyelesaian dengan lebih berkesan, menjangkau kawasan geografi dan skala pertanian lebih luas, daripada pekebun kecil kepada perniagaan tani yang besar,” katanya.

Beliau berkata, skala untuk penyelesaian penting bagi menangani pelbagai cabaran pertanian yang dihadapi di seluruh Asia Tenggara, termasuk kepelbagaian iklim, jenis tanaman dan amalan pertanian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RHL Ventures Sdn Bhd, syarikat modal teroka tempatan, Raja Hamzah Abidin berkata, pelan tindakan itu komprehensif dan tersusun dengan baik melalui inisiatif “Tetingkap Tunggal” yang menyediakan platform terpusat bagi syarikat pemula untuk memudahkan tatacara dan menyatukan sumber.

Beliau berkata, inisiatif itu penting dalam menangani salah satu titik halangan utama bagi ekosistem pemula, iaitu pembuatan keputusan yang tidak bersepadu.

Raja Hamzah mengingatkan kerajaan bahawa langkah seterusnya dalam membangunkan sektor pemula di negara ini adalah melaksanakan pelan tindakan itu, antara lainnya dengan menubuhkan jawatankuasa pemandu untuk menyelia pelaksanaan KL20.

“Kita perlu tahu agensi khusus yang bertanggungjawab melaksanakan rancangan ini,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, kementeriannya akan bertanggungjawab atas inisiatif “Tetingkap Tunggal”, menyokong tiga pemegang taruh utama, iaitu pengasas, pelabur dan bakat teknologi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.